Saturday 17 December 2011

APA ITU FITRAH?

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM...
ASSALAMUALAIKUM W.B.T...


FITRAH, watak dan bakat adalah tiga perkara yang berbeza. Walaupun semuanya sama-sama merupakan sifat batiniah insan, namun ada perbezaan yang jelas di antara ketiga-tiganya. Kita perlu mengetahui akan pengertian dan fungsi tiap-tiap satunya, supaya kita dapat melatih dan menggunakannya tepat dengan kehendak ALLAH. Dengan izin dan pengajaran dari ALLAH, saya akan cuba mengupas ketiga-tiga perkara ini dengan jelas, insya-ALLAH.

A. FITRAH
Fitrah ertinya sifat batin semulajadi, yang dibekalkan oleh ALLAH ke dalam diri setiap manusia sejak azali lagi. Fitrah wujud bersama lahirnya tubuh kasar manusia ke dunia. Ia terus menjadi sifat manusia tanpa melalui proses berguru atau pengalaman. Cuma ia tidak cukup subur semasa manusia masih bayi. Ia beransur-ansur subur bersama kesuburan yang dialami oleh jasad lahir manusia.

Contoh-contoh sifat fitrah ini ialah takut, sayang, simpati, marah, dendam, benci, gembira, dengki, megah, sedih dan lain-lain lagi. Rasa-rasa fitrah ini bukannya diperolehi di mana-mana sekolah atau dari mana-mana guru. Ia sudah sedia ada. Ia menjelma dalam kalbu manusia di waktu manusia itu berhadapan dengan keadaan yang tertentu.

Rasa takut datang ketika berhadapan dengan perkara yang hebat dan menggerunkan. Rasa sayang terasa di hati ketika bertemu orang yang berjasa padanya. Rasa simpati atau belas kasihan datang ketika melihat orang susah atau teraniaya. Rasa marah terasa bila ada orang mengganggu atau mencacatkannya. Rasa dendam datang bila ada orang lain menyusahkan dirinya atau kaum keluarganya. Rasa benci terasa bila ada orang menghinanya. Rasa jijik menjelma bila berhadapan dengan najis atau kekotoran. Rasa terhibur atau gembira masuk ke hati di waktu berhadapan dengan kesenangan atau kejayaan. Rasa dengki atau tidak senang datang ketika berhadapan dengan kesenangan orang lain. Rasa megah menghantui hati di waktu beroleh kejayaan dan kemenangan.Rasa sedih datang bila berhadapan dengan kegagalan, kemiskinan dan kesusahan.

Sekali lagi, rasa-rasa yang menjelma silih berganti ke dalam hati itu, bukannya didapati hasil berguru atau pengalaman. Ia adalah semulajadi. Ia wujud bersama lahirnya manusia ke dunia. Itulah fitrah. ALLAH SWI` berfirman:

Terjemahannya: " Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (ALLAH); tetaplah atas fitrah ALLAH yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah ALLAH. Itulah agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. "(Ar Rum: 30 )

Berdasarkan contoh-contoh sifat semulajadi yang ada pada manusia itu, kita dapat membahagikan fitrah kepada dua bentuk iaitu:
i. Positif (sifat-sifat baik)
ii. Negatif (sifat-sifat jahat)

ALLAH SWT menentukan bahawa setiap manusia dibekalkan dengan sifat semulajadi yang baik dan yang buruk.
Hal ini adalah untuk menguji manusia, siapakah yang baik dan siapa pula yang tidak. ALLAH berfirman:
Terjemahannya: " Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan (jalan kebaikan dan jalan kejahatan)." (Al Balad: 10)
Firman-Nya lagi:
Terjemahannya: " Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang membersihkan hatinya (nafsunya) dan rugilah orang yang mengotorinya. "(Asy Syams: 9 - 10)

Antara sifat-sifat jiwa yang positif ialah :
1. Rasa terhutang budi atau ingin membalas budi dan berterima kasih pada orang yang berjasa.
2. Simpati atau belas kasihan kepada orang susah dan teraniaya.
3. Rasa cinta kebaikan dan kebenaran.
4. Rasa bertuhan yakni mahu menyembah Tuhan, memohon pertolongan dan mengingatinya diwaktu susah.
5. Rasa malu dengan perkara-perkara yang aib.
6. Rasa ingin membela atau menolong pihak yang benar.
7. Rasa bersalah bila terbuat kejahatan.

Antara sifat-sifat jiwa yang negatif ialah :
1. Rasa megah atau sombong dengan kejayaan dan keistimewaan.
2. Rasa marah terhadap orang yang menyusahkan atau menghina.
3. Rasa dendam terhadap orang yang buat jahat pada kita.
4. Rasa takut.
5. Dengki dengan kelebihan orang lain dan gembira dengan kegagalan mereka.
6. Tamak dengan dunia; tidak pernah cukup atau tidak puas.
7. Ingin lebih, ingin dipuji.
8. Rasa rendah diri dengan kekurangan diri.
9. Benci dengan makhluk yang hina dan lemah.

Sifat-sifat yang positif yang ALLAH bekalkan pada manusia itu, ALLAH perintahkan agar ia disuburkan, dididik dan diamalkan dalam kehidupan. Untuk itu ALLAH gariskan panduan syariat tentang bagaimana sifat-sifat yang baik itu boleh disuburkan dan dijadikan akhlak diri dan sikap hidup.

Sebaliknya terhadap sifat-sifat yang negatif ALLAH perintahkan ianya dikikis dari jiwa dan tidak diamalkan dalam kehidupan. ALLAH juga menunjukkan cara bagaimana mujahadah membuangnya boleh dilakukan.


No comments:

Post a Comment