BISMILLLAHIRRAHMANIRRAHIM...
ASSALAMUALAIKUM W.B.T...
Apakah anda sudah membangunkan identiti mu'min?
Apakah ISLAM?
Pertanyaan itu, bukan sahaja menjadi persoalan kepada orang
bukan ISLAM sahaja, bahkan kebanyakan orang ISLAM sendiri, mempunyai pertanyaan
yang sama. Hal ini kerana, zaman ini manusia tidak dapat mencari contoh yang
terbaik, yang wujud di hadapan mata mereka untuk menunjukkan kepada mereka apa
itu ISLAM.
ISLAM, bukan satu teori agama, yang direka-reka oleh seorang
manusia, untuk mencari ketenangan jiwa. ISLAM hakikatnya adalah satu sistem
hidup, yang diturunkan oleh PENCIPTA segala makhluk, sebagai maslahat seluruh
alam, bukan sekadar kebaikan buat kaum manusia semata-mata. Justeru, sistem
hidup ISLAM ini perlu diterjemahkan ke dalam kehidupan manusia, yang telah
ditaklifkan menjadi pentadbir di atas muka bumi ini.
Dan yang mampu menterjemahkan ISLAM dalam kehidupan,
hanyalah manusia yang mempunyai identiti mu’min di dalam diri.
Dahulu, semasa saya kecil, saya memandang bahawa identiti
orang beriman ini adalah mereka yang sering memakai jubah, memakai kopiah.
Malah, dahulu saya cukup mengagumi mereka yang memakai serban dan membawa
kalungan tasbih, dan menganggap bahawa iman mereka lebih dari orang yang
berpakaian biasa. Ketika saya kecil itu, kalau melihat orang yang berjanggut
panjang, maka saya akan terus katakan dia adalah orang yang alim. Kalau orang
tu fasih bercakap arab, saya akan anggap dia macam alim ulama’ la.
“ Itulah ulama’, itulah pembawa ISLAM” Kata saya dalam hati.
Tetapi bila saya membesar, saya dapat melihat pelbagai
perkara. Saya boleh katakan, pandangan saya semasa kecil itu salah.
Apakah itu yang dikatakan ISLAM?
Sebenarnya, pakaian tidak membawa apa-apa makna. Identiti
mu’min, tidak terbina dengan luaran semata-mata. Identiti mu’min juga tidak
terbina dengan genetik darah, atau jenis kaum semata-mata.
Rasulullah SAW bersabda semasa khutbah wida’ baginda di
Arafah:
“ Wahai manusia, sesungguhnya TUHAN kamu adalah satu, dan
asal kamu adalah satu. Ketahuilah bahawa tiada kelebihan orang arab di atas
orang yang bukan arab. Dan tiada juga kelebihan orang bukan arab di atas orang
arab. Orang yang berkulit hitam juga tiada kelebihan di atas orang yang
berkulit kemerahan, dan begitulah sebaliknya, kecuali denga taqwa. Sesungguhnya
yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi ALLAH adalah yang paling tinggi
taqwanya” Riwayat Bukhari dan Muslim.
Identiti mu’min bukan terbangun dari ikut-ikutan. Identiti mu’min terbangun dari taqwa dan keimanan.
Daripada taqwa dan keimanan itulah,
seorang mu’min akan menjaga tingkah lakukanya, menjaga kekemasan pakaiannya, meningkatkan
usahanya dan sentiasa mencuba untuk melakukan yang terbaik, dalam apa jua
lapangan kehidupannya. Dengan taqwa dan keimanan itulah, seorang mu’min mampu
taat kepada ALLAH, luar dan dalam, zahir dan batin, depan manusia atau di
belakang manusia.
Sebab itu jika kita menoleh, sirah Rasulullah SAW telah
menunjukkan betapa pembinaan yang pertama bukanlah pembinaan negara, atau
pendirian peraturan syariah, tetapi yang pertama diutuhkan asanya adalah
keimanan kepada ALLAH SWT. 13 tahun fasa Makkah, proses yang berlaku adalah
proses pembinaan iman. Ayat-ayat Al-Quran yang ALLAH turunkan ketika itu
semuanya ayat-ayat yang membina asas-asas keimanan.
Proses inilah yang melahirkan manusia ampuh seperti Bilal
bin Rabah RA. Bayangkan, diseret di tengah padang pasir, di hempap dengan batu
besar, tetapi tahukah kalian apakah yang dilaung-laungkannya?
“ Ahad, ahad, ahad”
Begitu mendalam sekali keimanan Bilal bin Rabah, walaupun
dia bukanlah seorang yang berjubah, berserban, melainkan dia hanyalah seorang
hamba berkulit hitam, yang mungkin tidak mempunyai baju pun untuk dipakai.
Peribadi-peribadi sebeginilah yang sebenarnya membawa
identiti mu’min. Walaupun Bilal adalah hamba, tetapi kehadirannya memberikan
kesan kepada masyarakat. Sebab itulah mereka yang membenci cahaya ALLAH,
berusaha untuk menghapuskan manusia sepertinya. Namun, siapalah manusia jika
hendak memadamkan cahaya ALLAH?
“ Mereka berkehendak memadamkan cahaya ALLAH dengan mulut
mereka dan ALLAH tiak mengkehendaki selain menyempurnakan cahayaNya, walaupun
orang-orang kafir tidak menyukai” Surah At-Taubah ayat 32.
Peribadi yang mempunyai identiti mu’min ini, tidak pula
tergoyah dengan ujian. Saban waktu mereka ditapis, ditapis, ditapis oleh ALLAH
SWT untuk melihat sama ada keimanan mereka benar atau tidak. Diuji dengan
pelbagai ujian, antaranya dipulau selama tiga tahun, hingga terpaksa merebus
kasut kulit mereka untuk dimakan, dan menjamah daun-daun kering sehingga pecah
luka bibir dan mulut mereka. Malah, keimanan mereka teruji hebat dengan peristiwa
Isra’ dan Mi’raj yang diluar logik akal. Mereka juga teruji dengan berita palsu
tumbangnya Rasulullah SAW di medan Uhud. Dan dugaan yang paling berat untuk
mereka, adalah ketika Rasulullah SAW benar-benar dipanggil pergi oleh ALLAH
SWT.
Tetapi, bagi yang benar keimanan mereka, tetap teguh dan
bertahan.
“ Alif laam miim. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka
akan dibiarkan berkata: Kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji?
Sesungguhnya KAMI telah menurunkan ujian kepada orang sebelum mereka, maka
sesungguhnya ALLAH mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya DIA
mengetahui orang-orang yang dusta” Surah Al-Ankabut ayat 1-3.
Sebab itulah, amat jelek bagi manusia hari ini yang
menganggap dia telah beriman, menganggap dirinya mulia hanya dengan
pakaian-pakaian yang mereka pakai.
Sebab identiti mu’min itu hadir dari kefahaman, bukan
kefahaman dari buku, tetapi kefahaman dari ujian kehidupan yang dilaluinya.
Sebab ujian itu adalah tarbiyah ALLAH. Manusia yang tahan diuji, adalah manusia
yang benar-benar beriman kepada ALLAH. Sebab dia yakin dengan sebenar
keyakinannya bahawa ALLAH tidak akan meninggalkannya.
“ Apakah kamu mengira kamu akan memasuki syurga, sedangkan
belum tiba kepada kamu(cubaan) sebagaimana halnya orang terdahulu sebelum kamu?
Mereka ditimpakan malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan(dengan
pelbagai dugaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang yang bersamanya, bilakah
datangnya pertolongan ALLAH? Ingatlah bahawa sesungguhnya pertolongan ALLAH itu
amatlah dekat” Surah Al-Baqarah ayat 214.
Jelek bagi mereka yang terasa sudah tinggi keimanan mereka,
menyatakan mereka lebih bagus dari orang lain, memandang rendah pula pada
mereka yang tersungkur dan sebagainya, tanpa memikirkan bahawa, mereka itu
belum diuji dengan ujian yang menggegarkan keimanan mereka. Jelek juga bagi
mereka yang secara membuta tuli menghukum manusia lain itu beriman atau berdosa
hanya dengan pakaian.
“ Oh dia ni iman dia tinggi sebab dia pakai jubah. Oh, ini
iman dia rendah sebab dia pakai jeans”
Sedangkan, memakai jeans yang kemas, tidak ketat, tidak pula
koyak sana sini, adalah tidak berlanggaran dengan syara’.
Akhirnya, dengan pandangan cetek itulah, manusia
membelakangkan ISLAM.
“ Tengok tu, dia pakai jubah hari-hari, tapi hisap rokok rupanya.
Eh, dia tu budak sekolah agama kan? Tapi berzina. Dia tu janggut panjang, tapi
bila poligami keluarga rosak. Ish, ISLAM ni memang dah tak relevan kan?”
Sebab itu saya suka agar kita sentiasa muhasabah kehidupan
kita. Apakah kita telah berusaha membangunkan identiti keimanan yang sebenar
dalam kehidupan kita? Apakah kita telah berusaha menghidupkan taqwa di dalam
jiwa kita? Atau sebenarnya, kita hanyalah orang ISLAM, yang dilahirkan oleh
orang ISLAM, yang mempunyai datuk nenek orang ISLAM semata-mata?
“ Iman tak dapat diwarisi, dari seorang ayah yang bertaqwa,
iman tak dapat dijual beli,
ia tiada di tepian pantai,
Walau apapun caranya jua,
engkau mendaki gunung yang tinggi, engkau merentas lautan
api,
namun tak dapat jua dimiliki,
jika tidak kembali kepada ALLAH”
-Nasyid Iman Mutiara, Raihan, Album Puji-pujian-
Mari bersama muhasabah, sama-sama kita koreksi diri.