Sunday 27 May 2012

IDENTITI MUKMIN

BISMILLLAHIRRAHMANIRRAHIM...
ASSALAMUALAIKUM W.B.T...


Apakah anda sudah membangunkan identiti mu'min?

Apakah ISLAM?

Pertanyaan itu, bukan sahaja menjadi persoalan kepada orang bukan ISLAM sahaja, bahkan kebanyakan orang ISLAM sendiri, mempunyai pertanyaan yang sama. Hal ini kerana, zaman ini manusia tidak dapat mencari contoh yang terbaik, yang wujud di hadapan mata mereka untuk menunjukkan kepada mereka apa itu ISLAM.

ISLAM, bukan satu teori agama, yang direka-reka oleh seorang manusia, untuk mencari ketenangan jiwa. ISLAM hakikatnya adalah satu sistem hidup, yang diturunkan oleh PENCIPTA segala makhluk, sebagai maslahat seluruh alam, bukan sekadar kebaikan buat kaum manusia semata-mata. Justeru, sistem hidup ISLAM ini perlu diterjemahkan ke dalam kehidupan manusia, yang telah ditaklifkan menjadi pentadbir di atas muka bumi ini.

Dan yang mampu menterjemahkan ISLAM dalam kehidupan, hanyalah manusia yang mempunyai identiti mu’min di dalam diri.

Dahulu, semasa saya kecil, saya memandang bahawa identiti orang beriman ini adalah mereka yang sering memakai jubah, memakai kopiah. Malah, dahulu saya cukup mengagumi mereka yang memakai serban dan membawa kalungan tasbih, dan menganggap bahawa iman mereka lebih dari orang yang berpakaian biasa. Ketika saya kecil itu, kalau melihat orang yang berjanggut panjang, maka saya akan terus katakan dia adalah orang yang alim. Kalau orang tu fasih bercakap arab, saya akan anggap dia macam alim ulama’ la.

“ Itulah ulama’, itulah pembawa ISLAM” Kata saya dalam hati.

Tetapi bila saya membesar, saya dapat melihat pelbagai perkara. Saya boleh katakan, pandangan saya semasa kecil itu salah.


Apakah itu yang dikatakan ISLAM?

Sebenarnya, pakaian tidak membawa apa-apa makna. Identiti mu’min, tidak terbina dengan luaran semata-mata. Identiti mu’min juga tidak terbina dengan genetik darah, atau jenis kaum semata-mata.

Rasulullah SAW bersabda semasa khutbah wida’ baginda di Arafah:

“ Wahai manusia, sesungguhnya TUHAN kamu adalah satu, dan asal kamu adalah satu. Ketahuilah bahawa tiada kelebihan orang arab di atas orang yang bukan arab. Dan tiada juga kelebihan orang bukan arab di atas orang arab. Orang yang berkulit hitam juga tiada kelebihan di atas orang yang berkulit kemerahan, dan begitulah sebaliknya, kecuali denga taqwa. Sesungguhnya yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi ALLAH adalah yang paling tinggi taqwanya” Riwayat Bukhari dan Muslim.

Identiti mu’min bukan terbangun dari ikut-ikutan. Identiti mu’min terbangun dari taqwa dan keimanan. 
Daripada taqwa dan keimanan itulah, seorang mu’min akan menjaga tingkah lakukanya, menjaga kekemasan pakaiannya, meningkatkan usahanya dan sentiasa mencuba untuk melakukan yang terbaik, dalam apa jua lapangan kehidupannya. Dengan taqwa dan keimanan itulah, seorang mu’min mampu taat kepada ALLAH, luar dan dalam, zahir dan batin, depan manusia atau di belakang manusia.

Sebab itu jika kita menoleh, sirah Rasulullah SAW telah menunjukkan betapa pembinaan yang pertama bukanlah pembinaan negara, atau pendirian peraturan syariah, tetapi yang pertama diutuhkan asanya adalah keimanan kepada ALLAH SWT. 13 tahun fasa Makkah, proses yang berlaku adalah proses pembinaan iman. Ayat-ayat Al-Quran yang ALLAH turunkan ketika itu semuanya ayat-ayat yang membina asas-asas keimanan.

Proses inilah yang melahirkan manusia ampuh seperti Bilal bin Rabah RA. Bayangkan, diseret di tengah padang pasir, di hempap dengan batu besar, tetapi tahukah kalian apakah yang dilaung-laungkannya?

“ Ahad, ahad, ahad”

Begitu mendalam sekali keimanan Bilal bin Rabah, walaupun dia bukanlah seorang yang berjubah, berserban, melainkan dia hanyalah seorang hamba berkulit hitam, yang mungkin tidak mempunyai baju pun untuk dipakai.

Peribadi-peribadi sebeginilah yang sebenarnya membawa identiti mu’min. Walaupun Bilal adalah hamba, tetapi kehadirannya memberikan kesan kepada masyarakat. Sebab itulah mereka yang membenci cahaya ALLAH, berusaha untuk menghapuskan manusia sepertinya. Namun, siapalah manusia jika hendak memadamkan cahaya ALLAH?

“ Mereka berkehendak memadamkan cahaya ALLAH dengan mulut mereka dan ALLAH tiak mengkehendaki selain menyempurnakan cahayaNya, walaupun orang-orang kafir tidak menyukai” Surah At-Taubah ayat 32.

Peribadi yang mempunyai identiti mu’min ini, tidak pula tergoyah dengan ujian. Saban waktu mereka ditapis, ditapis, ditapis oleh ALLAH SWT untuk melihat sama ada keimanan mereka benar atau tidak. Diuji dengan pelbagai ujian, antaranya dipulau selama tiga tahun, hingga terpaksa merebus kasut kulit mereka untuk dimakan, dan menjamah daun-daun kering sehingga pecah luka bibir dan mulut mereka. Malah, keimanan mereka teruji hebat dengan peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang diluar logik akal. Mereka juga teruji dengan berita palsu tumbangnya Rasulullah SAW di medan Uhud. Dan dugaan yang paling berat untuk mereka, adalah ketika Rasulullah SAW benar-benar dipanggil pergi oleh ALLAH SWT.

Tetapi, bagi yang benar keimanan mereka, tetap teguh dan bertahan.

“ Alif laam miim. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan berkata: Kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji? Sesungguhnya KAMI telah menurunkan ujian kepada orang sebelum mereka, maka sesungguhnya ALLAH mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya DIA mengetahui orang-orang yang dusta” Surah Al-Ankabut ayat 1-3.

Sebab itulah, amat jelek bagi manusia hari ini yang menganggap dia telah beriman, menganggap dirinya mulia hanya dengan pakaian-pakaian yang mereka pakai.

Sebab identiti mu’min itu hadir dari kefahaman, bukan kefahaman dari buku, tetapi kefahaman dari ujian kehidupan yang dilaluinya. Sebab ujian itu adalah tarbiyah ALLAH. Manusia yang tahan diuji, adalah manusia yang benar-benar beriman kepada ALLAH. Sebab dia yakin dengan sebenar keyakinannya bahawa ALLAH tidak akan meninggalkannya.

“ Apakah kamu mengira kamu akan memasuki syurga, sedangkan belum tiba kepada kamu(cubaan) sebagaimana halnya orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpakan malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan(dengan pelbagai dugaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang yang bersamanya, bilakah datangnya pertolongan ALLAH? Ingatlah bahawa sesungguhnya pertolongan ALLAH itu amatlah dekat” Surah Al-Baqarah ayat 214.

Jelek bagi mereka yang terasa sudah tinggi keimanan mereka, menyatakan mereka lebih bagus dari orang lain, memandang rendah pula pada mereka yang tersungkur dan sebagainya, tanpa memikirkan bahawa, mereka itu belum diuji dengan ujian yang menggegarkan keimanan mereka. Jelek juga bagi mereka yang secara membuta tuli menghukum manusia lain itu beriman atau berdosa hanya dengan pakaian.

“ Oh dia ni iman dia tinggi sebab dia pakai jubah. Oh, ini iman dia rendah sebab dia pakai jeans”

Sedangkan, memakai jeans yang kemas, tidak ketat, tidak pula koyak sana sini, adalah tidak berlanggaran dengan syara’.

Akhirnya, dengan pandangan cetek itulah, manusia membelakangkan ISLAM.

“ Tengok tu, dia pakai jubah hari-hari, tapi hisap rokok rupanya. Eh, dia tu budak sekolah agama kan? Tapi berzina. Dia tu janggut panjang, tapi bila poligami keluarga rosak. Ish, ISLAM ni memang dah tak relevan kan?”

Sebab itu saya suka agar kita sentiasa muhasabah kehidupan kita. Apakah kita telah berusaha membangunkan identiti keimanan yang sebenar dalam kehidupan kita? Apakah kita telah berusaha menghidupkan taqwa di dalam jiwa kita? Atau sebenarnya, kita hanyalah orang ISLAM, yang dilahirkan oleh orang ISLAM, yang mempunyai datuk nenek orang ISLAM semata-mata?

“ Iman tak dapat diwarisi, dari seorang ayah yang bertaqwa,

iman tak dapat dijual beli,

ia tiada di tepian pantai,

Walau apapun caranya jua,

engkau mendaki gunung yang tinggi, engkau merentas lautan api,

namun tak dapat jua dimiliki,

jika tidak kembali kepada ALLAH”

-Nasyid Iman Mutiara, Raihan, Album Puji-pujian-

Mari bersama muhasabah, sama-sama kita koreksi diri.


No comments:

Post a Comment