ASSALAMUALAIKUM W.B.T...
Hidup ini matlamatnya adalah Tuhan. Tuhan yang hendak
dibesarkan, disanjung dan dicintai. Untuk mendapatkan perasaan-perasaan itu,
Tuhan beri jalan dan tunjukkan cara supaya melalui cara-cara itu dapat
dizahirkan perasaan-perasaan itu. Cara-cara melahirkan perasaan itu ada yang
berbentuk ibadah asas, sunat dan umum.
Yang asas iaitu melalui ibadah yang fardhu seperti solat,
zakat, haji dan lain-lain. Semoga kita dapat melahirkan perasaan tadi iaitu
rasa kebesaran Tuhan dan rasa hendak puji Tuhan melalui ibadah yang asas. Kalau
yang fardhu tidak cukup untuk lahirkan perasaan bertuhan itu, ia boleh
dilakukan melalui perkara-perkara sunat pula. Ibadah yang fardhu tidak boleh di
ubah suai mengikut kehendak kita. Ia adalah ibadah yang tetap dan wajib
dilaksanakan. Ia tidak boleh di tokok tambah. Orang tidak rasa puas melahirkan
rasa kehambaan dan rasa bertuhan itu melalui ibadah fardhu bolehlah ditambah
dengan yang sunat pula.
Tuhan tahu ada orang yang hatinya asyik dengan Tuhan,
sentiasa ingat kepada Tuhan. Jika boleh hendaklah selalu bersama Tuhan. Ibadah
yang fardhu tidak boleh ditambah bilangannya iaitu lima waktu sehari semalam.
Kita tidak boleh solat fardhu 30 waktu semata-mata kerana ingin mendampingi
Tuhan. Tidak boleh memandai-mandai bagi yang fardhu. Perbanyakkanlah yang sunat
bagi orang tidak merasa cukup untuk melahirkan perasaan kehambaannya dalam
ibadah fardhu. Ia adalah ruang tambahan untuk melahirkan rasa hamba, cinta,
takut dan lain-lain. Bagi orang yang ibadah fardhu pun sudah mengasyikkan
jangan tambah fardhu tetapi tambah yang sunat. Begitulah yang fardhu dan sunat
terbatas.
Selain dari fardhu dan sunat, ada ruang lain untuk yang
harus seperti makan, rehat, kerja dan lain-lain. Yang harus ini jika tidak
digunakan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan, Allah masih memberi rukhsah atau
pilihan kepada hamba-Nya samada hendak dilakukan atau tidak. Allah maafkan jika
tidak digunakan perkara yang harus untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.
Sebaik-baiknya ruang-ruang ibadah yang harus juga digunakan untuk mendekatkan
diri kepada Tuhan. Cuma jangan digantikan dengan yang haram. Oleh itu selama 24
jam kita dalam beribadah kepada Tuhan. Itulah rahmat Tuhan agar hamba-Nya tidak
berdosa. Allah telah menyediakan garis panduan dan peringatan. Terpulang kepada
kita samada untuk melaksanakan atau tidak.
Di sini kita faham yang fardhu, yang sunat, yang harus
semuanya dengan tujuan untuk taqarrub (mendekatkan diri) dengan Tuhan. Kalau
mampu sehingga boleh merasakan kasih, takut, mabuk dengan Tuhan. Kalau
perkara-perkara itu tidak boleh datangkan perasaan-perasaan tadi, ibadah kita
tiada bernilai di sisi Allah SWT. Solat jadi habuk, puasa jadi habuk, naik haji
jadi habuk, solat semua jadi habuk sebab matlamat tidak sampai. Ibadah tidak
dapat melahirkan rasa kehambaan dan rasa bertuhan.
Ramai orang yang faham tentang agama tinggalkan Tuhan.
Ketika solat pun manusia boleh tinggalkan Tuhan. Inikan pula semasa cari makan,
manusia mudah putus hubungan dengan Tuhan. Orang sudah tidak faham peranan
ibadah itu untuk melahirkan rasa kehambaan dan rasa bertuhan. Sebab itu solat
banyak sekalipun tidak memberi kesan. Perangai tetap tidak berubah walaupun
sudah banyak kali pergi umrah. Tuhan tidak menilai kepada banyak atau sedikit
tetapi Tuhan menilai kesannya. Tuhan tidak menilai amalan lahir tetapi Tuhan
melihat apa yang ada dalam hati kita. Ertinya, amalan lahir itu dapatkah
melahirkan rasa cinta dengan Tuhan, rindu dengan Tuhan, rasa Tuhan itu hebat,
terasa malu dan takut dengan Tuhan? Kalau rasa-rasa atau matlamat ibadah itu
kita dapat, buat yang fardhu pun sudah memadai. Ertinya kalau kita tidak tahu
peranan ibadah yang sebenar, jika kita ibadah pun dalam keadaan lalai. Jika
tidak ibadah lebih-lebihlah lagi hati kita lalai dengan Tuhan. Ini adalah
fitrah hati yang suka bergantung, memuja dan memuji satu kuasa yang luarbiasa
iaitu fitrah bertuhan. Hati manusia akan mudah tersentuh bila diceritakan bab
ketuhanan.
Oleh itu, dalam beribadah jangan mengejar fadhilat. Itu
adalah hasil sampingan dalam ibadah. Kalau kita makan gaji, gaji asas kita
mungkin RM500 sahaja. Bila kerja lebih masa, dapatlah tambahan RM2 ribu. Dalam
ibadah tambahan menjadi RM2 ribu itulah fadhilat kerana kerja lebih dari masa
yang diwajibkan. Ibadah asas mesti dilakukan. Jika tidak bagaimana kita hendak
mengecapi fadhilat ibadah? Ibadah yang sunat tidak ada erti jika yang wajib
tidak dilaksanakan.
Orang kejar fadhilat mudah tertipu. Masyarakat digalakkan
oleh ulama mengejar fadhilat ibadah sedangkan yang wajib pun tidak
dilaksanakan. Masyarakat boleh menjadi rosak. Contoh, kalau kita membaca Al
Quraan. Kita mesti menanamkan dalam jiwa kita bahawa setiap yang dibaca itu
adalah sebagai lambang cinta Tuhan kepada kita. Allah kurniakan setiap perintah
untuk diri kita dulu laksanakan. Bukan untuk diarah-arah orang lain supaya
berbuat sedangkan diri sendiri tidak melaksanakannya. Kita tidak rasa ilmu al
Quraan itu untuk kita tapi untuk orang. Peranan ibadah dan syariat ini telah
diselewengkan oleh ahli-ahli agama.
Di zaman Khalifah Umar Ibnu Aziz, beliau telah Allah berikan
peluang memerintah selama dua tahun. Selama pemerintahannya itulah juga beliau
dikatakan oleh isterinya bahawa beliau tidak dapat melaksanakan ibadah yang
banyak seperti khalifah-khalifah yang lain. Ini memanglah munasabah kerana
seorang pemerintah mempunyai masa yang sangat terhad di antara tanggungjawab
dan bertaqqarub (mendekatkan diri) dengan Tuhan. Walaupun ibadahnya sedikit,
Khalifah Umar Abdul Aziz ini mempunyai satu perasaan takutkan Tuhan bila hendak
tidur. Beliau akan menggelupur takutkan Tuhan walaupun isteri ada di sebelah.
Itulah kesan ibadah beliau yang sedikit. Hatinya sentiasa rasa malu dan takut
dengan Tuhan. Hatinya sentiasa ingat Tuhan. Selama dua tahun zaman
pemerintahannya, selama itulah beliau tidak pernah bersama dengan isterinya,
Fatimah.
Orang yang banyak amalan sedangkan hatinya tidak terasa
takut dengan Tuhan, kesalahan itu adalah berat kerana tidak terasa berdosa.
Kalau kita mencuri terasa berdosa sebab kesalahan itu boleh dinilai secara
lahir. Orang yang beribadah kerana fadhilat, tidak akan dapat rasa dirinya
hamba. Bahkan mungkin terasa layak untuk menerima ganjaran fadhilat itu.
Fadhilat itu tujuannya hendak melahirkan rasa hamba. Benda yang halus dan
tersirat ini sangat bahaya. Kalau hendak dinilai ibadah kita, itupun belum
dapat menebus nikmat sebelah biji mata yang Tuhan berikan.
Berbuatlah kerana Tuhan. Apa sahaja yang kita buat samada
menuntut ilmu, mengajar, berdakwah, berjuang, bertemu dan berbincang, biarlah
kerana Tuhan. Selama ini apa sahaja yang kita lakukan tidak kerana Tuhan.
Menuntut ilmu semata-mata kerana hendak pandai, hendak makan gaji, kalau tidak
khatam Quran tidak boleh sunat. Sikap inilah yang mesti dibetulkan. Hidupkan
semula apa yang diajar oleh Rasul. Semuanya kerana Tuhan. Sememanglah ianya
sangat bertentangan dengan arus kehidupan manusia hari ini yang sangat condong
ke arah keduniaan dan materialistik.
Orang dulu-dulu sangat menjaga hati agar tidak rosak dengan
Tuhan. Kalau pakai baju, di dalam zuhud sementara pakaian luar sangat cantik
untuk mengelakkan pujian orang atas kezuhudannya. Mereka lebih suka dikatakan
sebagai orang yang berlalai dengan dunia dari pujian orang. Bimbang hatinya
berbunga. Belajar sahaja tentang ilmu kesufian ini tidak cukup kuat untuk kita
beramal jika tanpa pimpinan Tuhan. Ilmu sahaja tidak boleh menjadikan hati
menggelupur takut kepada Tuhan seperti Khalifah Umar Abdul Aziz.
Hati yang kenal Tuhan tidak akan tenang. Walaupun
kadang-kadang kita bergurau dengan manusia tetapi perasaan kenal Tuhan itu
terpaksa disimpan-simpan. Bergurau itu hak manusia lain terhadap kita. Khalifah
Umar Abdul Aziz tetap menjalankan tugas pemerintahan kerana ia hak rakyat. Dia
bersikap normal seperti manusia lain. Perasaan kenal Tuhan itu ditahan-tahan
sehingga di malam hari sewaktu bersendirian di samping isteri, baru dapat
dilepaskan perasaan takutkan Tuhan itu sehingga menggelupur.
Kalau kita sedar hakikat ini macamana hati kita hendak
tenang. Walaupun kadang-kadang kita bergurau sebab itu hak manusia tapi dalam
hati orang tidak tahu kalau kita kenal Tuhan. Sebab itu kita cerita kisah Umar
ibnu Aziz. Perasaannya mesti sampai peringkat begitu kerana dia sedang
berhadapan dengan dunia, harta, perempuan, dan lain-lain. Takut dengan Tuhan
itulah baju kalis peluru untuk menangkis godaan dunia yang terlalu banyak.
Sebagai pemimpin, pergi mana pun orang puji. Hati yang tidak kuat bergantung
dengan Tuhan tidak akan boleh bertahan dan mudah kecundang serta berbunga.
Rosaklah amalan.
Melihat perempuan sahaja adalah seperti satu tembakan kepada
hati. Belum lagi berhadapan dengan godaan dunia yang lain. Kalau tidak ada baju
kalis peluru yang tebal memang habis kecundang. Kita hendaklah takut pada
Tuhan. Di waktu yang sama takut juga kepada isteri, pada harta, takut pada
pakaian, kereta, takut pada jawatan kita, takut dengan pujian orang, takut
tentang makan-minum, godaan anak dan isteri, kawan-kawan, waktu sihat, sakit
dan senang kerana itu semua peluru dunia. Kalau badan tidak kalis peluru iaitu
memiliki pakaian taqwa, kalau 1000 peluru dunia yang menembak mustahil satu
tidak tembus. Kalau kena satu peluru dunia sahaja pun sudah cukup untuk
menyebabkan hati kita mati. Ini peluru maknawi yang tidak nampak. Sejauhmanakah
ketaqwaan kita kepada Tuhan? Setebal manakah rasa kehambaan yang berada di
dalam jiwa kita? Sedalam manakah rasa bertuhan yang dimiliki oleh hati kita
hingga boleh menjadi baju kalis peluru kepada peluru-peluru dunia yang
bertaburan menembak sasarannya setiap waktu dan ketika?
Keredhaan Tuhan itu penting. Buatlah apa sahaja asalkan
mengharapkan keredhaan Tuhan. Kalau Tuhan redha yang lain tidak menjadi hal.
Kita mesti buat sesuatu sehingga redha Tuhan kita perolehi. Mesti ikhlaskan
diri sehingga apa yang dibuat itu semuanya dalam redha Tuhan. Untuk mendapat
redha Tuhan memang susah. Carilah rahmat Tuhan. Rahmat Tuhan terlalu luas dan
ia tidak mengira samada amalan besar atau kecil. Harapkanlah kepada rahmat
Tuhan. Lupakan segala amal kebaikan yang kita lakukan.
Itulah tanda keredhaan Tuhan. Bisikkan kepada Tuhan, Aku
membuat semua ini kerana aku hendak rahmat Engkau sahaja, wahai Tuhan. Itulah
hati orang yang mencari keredhaan Tuhan melalui rahmat-Nya. Sebab itu
Rasulullah diutus sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam. Memberi salam ke
kanan selepas sembahyang adalah untuk memohon redha Tuhan untuk ke syurga. Ini
bererti amal ibadah kita tidak ada erti dan sebarang nilai. Kita masuk syurga
bukan kerana amal ibadah tapi di atas tiket redha dan rahmat Tuhan. Mintalah
keredhaan Tuhan daripada kemurkaan-Nya. Bila Tuhan murka bererti neraka. Yang
penting Tuhan redha sebab itu pohonlah keredhaan Tuhan walaupun pada ibadah
sunat. Ini sangat penting supaya kita rasa bukan kerana ibadah kita selamat,
tapi kerana redha Tuhan. Kalau Tuhan redha bererti berdosa pun tidak apa. Kalau
Tuhan tidak redha, tidak buat dosa pun jadi masalah.
Dalam Al Quran Tuhan ada berkata, "Yang selamat ialah
hamba-hamba Aku yang diikhlaskan oleh Tuhan." Tuhan tidak kata, "Yang
selamat ialah hamba-hamba Ku yang ikhlas." Ikhlas itu adalah rahsia dan
anugerah Tuhan. Tidak mampu hendak usahakan sendiri. Malaikat pun tidak tahu
siapa yang ikhlas. Ikhlas itu ruh amal, jika tidak ikhlas tidak dikira
beramallah. Kita tidak mampu hendak ikhlas kalau tidak diikhlaskan sendiri oleh
Tuhan. Malaikat pun tidak tahu amalan yang dibawa itu ikhlas atau tidak. Hanya
Tuhan sahaja yang tahu samada amalan itu ikhlas atau tidak. Muaz kata dia pun
takut kerana tidak ada jaminan untuk berlaku ikhlas lalu dia bertanya kepada
Rasulullah. Rasulullah SAW bersabda, "Akan mudah bila Allah
mudahkan."
Ia ada kaitan dengan Tuhan, dengan rahmat dan kasih sayang
Tuhan supaya seimbang dan kita tidak rasa putus asa. Saluran rahmat itu banyak.
Rahmat itulah yang akan selamatkan kita. Sumber rahmat itu banyak sebab itu
dikatakan orang masuk syurga dengan rahmat Tuhan. Jika atas dasar amalan hamba
walaupun menggunung tidak mungkin selamat. Tuhan bagi jalan keluar dengan
rahmatnya yang amat luas. Seorang hamba masuk syurga bukan kerana ibadah tetapi
rahmat Tuhan. Rahmat Tuhan itu beribu-ribu. Contohnya, kita buat dosa itukan
bahaya. Tapi bila kita mengeluh dengan dosa, itu rahmat. Ertinya, Tuhan berkata
jangan buat dosa. Itu tidak mungkin berlaku kerana kita sentiasa buat dosa.
Tapi bila kita terbuat dosa, kemudian mengeluh tentang dosa, di situ ada rahmat
Tuhan.
Contoh lain, makan dengan orang soleh dan ulama ul amilin
itu rahmat. Tolong orang susah juga rahmat. Mungkin nanti dia doakan kita.
Untuk atasi susahnya untuk mendapat amalan yang ikhlas dan keredhaan Tuhan itu,
Tuhan bagi banyak jalan untuk mendapat rahmat Tuhan. Kita tolong orang berjuang
sedangkan kita tidak mampu, di situ juga ada rahmat Tuhan. Banyakkan selawat
itu rahmat sebab Rasulullah SAW akan syafaatkan walaupun tidak khusyuk. Oleh
itu, rahmat Tuhan itu bermacam-macam bentuk.
Walaupun dosa yang kita buat berat, tetapi bila datang
tetamu, semua dosa itu terhapus. Ia seolah-olah najis yang menggunung hendak
dibasuh dengan segelas air. Tuhan beri rahmat-Nya. Sebab itu mesti cari rahmat
Tuhan. Zaman Rasulullah kalau rumah yang tidak pernah diziarahi tetamu,
Rasulullah tidak mahu masuk sebab rumah itu tidak ada rahmat Tuhan sebaliknya
di dalam kutukan Tuhan.
Kita dimasukkan syurga atas dasar rahmat dan masuk neraka
kerana keadilan Tuhan. Tetamu yang datang merupakan penghapusan dosa. Kalau
kita hendak harapkan amal ibadah yang kita buat, tidak mampu hendak masuk
syurga. Carilah rahmat Tuhan, walaupun perkara itu nampak kecil. Ada orang yang
dimasukkan ke dalam syurga kerana memberi anjing minum air di padang pasir.
Orang yang sibuk bekerja tetapi tidak dapat buat
perkara-perkara sunat seperti wirid zikir, kemudian susah hati pula, itu lebih
baik daripada orang yang berwirid zikir tetapi tidak susah hati. Tuhan akan
beri rahmat untuk orang yang tidak dapat wirid tetapi susah hati. Orang yang
amal ibadah banyak pun jika tidak ada rasa takut, itu lebih bahaya daripada
yang kurang beribadah tetapi takut. Kadang-kadang tukang masak lebih selamat.
Kalau Tuhan takdirkan kita boleh beribadah, boleh buat itu dan ini, apalah kita
hendak bangga. Kita tetap hamba. Janganlah hendak berlagak sombong. Walaupun
kita nampak megah tapi tidak ada apa yang hendak dibanggakan kerana kita hanya
seorang hamba yang dhoif. Semuanya bergantung kepada kepada pemberian Tuhan.
Tafakkur adalah digalakkan kerana waktu itulah kita dekat
dengan Tuhan. Kadang-kadang solat pun tidak mendekatkan hati kita dengan Tuhan.
Waktu hendak tidur jika kita bertafakkur, hati lebih menggelupur takut dengan
Tuhan dan lebih dekat dengan Tuhan daripada waktu bertahlil. Kadang-kadang
waktu bertahlil pun hati tidak dekat dengan Tuhan. Oleh itu, di mana ada ruang
dan peluang untuk rebut rahmat Tuhan, berbuatlah sekalipun amalan itu hanya
kecil pada nilaian zahir. Ini adalah kerana jika Allah ikhlas amalan kita yang
kecil itu, di situlah padangan dan keredhaan untuk kita yang bakal
menyelamatkan kita di akhirat kelak.
No comments:
Post a Comment