Sunday 23 December 2012

TIADA TAUBAT TANPA PENYESALAN

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM...
ASSALAMUALAIKUM W.B.T ...


Sebagaimana pentingnya rukun Wuquf di Arafah bagi para hujjaj di kemuncak ibadah haji, maka begitulah pentingnya An Nadam di dalam sebuah taubat. Tanpa wuquf tiadalah haji seperti ungkapan hadis nabi saw: “Haji itu Arafah”. Begitulah juga sifirnya. An Nadam itu ertinya Penyesalan. Ia merupakan rukun terpenting di dalam taubat. Tanpa An Nadam tiadalah At taubah.
Sabda Nabi saw: “ Penyesalan itu adalah taubat”. (Riwayat Al Hakim dan Ibnu Majah -  sanad sahih)Kenapa kita perlu sangat mewar-warkan soal penyesalan ini? Jawapannya kerana ia memang sangat perlu. 

> Ia menjadi modal utama bagi setiap hamba untuk melengkapkan kesempurnaan sesebuah taubat yang akan dipersembahkan kepada Allah Tabaraka wa Ta’ala.

Imam Al Qusyairi rahimahullahu Ta’ala menukilkan dari sebahagian ulama satu kenyataan yang berbunyi: “penyesalan sudah memadai untuk terlaksananya taubat”. Apa tidaknya. Dari penyesalan yang bersungguh-sungguhlah nanti akan menumbuhkan buah ‘keazaman’ dan ‘peninggalan’, iaitu dua rukun lain yang bakal menyusul sesudahnya.

Amat mustahil sekali sekiranya seseorang yang sudah ‘benar-benar menyesal’, berazam tetap mahu melakukan semula perkara yang sudah disesalinya itu.

>  Penyesalan adalah  perasaan atau pun emosi batiniah (rohaniah) seseorang yang menggambarkan kekecewaan lantaran keterlanjurannya melakukan dosa sama ada terhadap Allah(Penciptanya), atau makhluk-Nya atau pun terhadap dirinya sendiri.

Baca dan renungilah perjalanan taubat orang-orang yang soleh dan bertaqwa kepada Allah swt. Apa yang mereka ungkapkan. “Kekecewaan itu adalah umpama api yang membakar hati. Hati akan rasa tersalai setiap kali mengenangkan dosa dan keterlanjuran diri serta balasan Allah yang bakal menanti”.

Kisah taubat tiga sahabat Nabi saw yang diabadikan dalam Al Quran cukup mengharu dan meruntun hati kita. Pemaparan yang sungguh indah lagi menarik.

Itulah kisah tiga sahabat yang tidak ikut serta bersama Nabi saw dalam perperangan  Tabuk  (pertemuan pertama Rasulullah saw dengan kuasa besar ketika itu iaitu Rom). Ketiga-tiga sahabat ini tidak datang menemui Rasulullah saw untuk menyatakan keuzuran ‘palsu’ seperti yang dilakukan sebahagian para munafiqin. Lalu rasulullah saw memerintahkan supaya mereka dipulaukan hingga datang keputusan dari Allah swt. Penyesalan dan kekecewaan mereka akhirnya mencapai tahap yang amat tinggi.

Al Quran menggambar kesengsaraan jiwa mereka itu seperti berikut: “Dan, terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas dan jiwa mereka pula (terasa) sangat sempit serta mereka telah mengetahui bahawa tidak ada tempat lain dari (seksaan) Allah, melainkan kepadaNya, kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”. (At Taubah ayat 118).

Ahli sufi terkenal, Zunnun Al Misri berkata: “Hakikat taubat ialah kamu merasakan bumi yang luas ini menjadi sempit sehinggakan kamu terasa tidak dapat berdiri”.

Begitulah gambaran penyesalan yang sepatutnya berlaku di dalam taubat kita. Barulah dosa kita benar-benar akan terampun di sisi Allah swt. Sesal dulu berpendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.

Wallahualam... 



Friday 21 December 2012

SENDIRI ITU TERAPI

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM...
ASSALAMUALAIKUM W.B.T ...


Siapa kata sendiri itu tidak bahagia? Tidak menggembirakan? Zahirnya, orang mungkin nampak seseorang yang bersendirian itu menyedihkan kerana kekosongan tanpa ditemani. Namun, pada hakikatnya mereka yang bersendiri itu lebih bahagia sebenarnya.

Bila sendiri, kita mempunyai banyak ruang untuk muhasabah diri. Biarpun sendiri, kita tetap takkan berada dalam relung kesunyian. Kerana dengan bersendiri, kita mampu merasai kehadiranNya di sisi kita. SubhanaAllah! Mampu untuk merasa redup kasihNya yang lagi menenangkan.

Sendiri, mengajar kita untuk memperbaiki diri sendiri tanpa gangguan dan halangan daripada mereka-mereka.

Sendiri itu terapi. Terapi untuk menguatkan iman. Terapi untuk perbaiki hubungan dengan Sang Pencipta. Terapi untuk memperbaiki habluminnanas (hubungan sesama manusia). Terapi untuk membetulkan setiap yang sumbang.

Kerana, dengan bersendiri, seseorang mampu untuk berfikir dengan rasional tentang segala hal duniawi mahupun ukhrawi. Mampu membuatkan seseorang mencari kembali dirinya yang telah hilang. Mampu menilai antara kaca dan permata. Mampu membezakan antara hitam dan putih.

Sendiri itu juga terapi untuk menghapuskan parut-parut dosa yang dilakukan. Apa gunanya berteman seandainya diulit dengan cengkaman dosa? Tentulah hati takkan tenang apabila dosa-dosa tersebut menghantui. Astargfirullahalazim...

Sesungguhnya, sendiri itu terapi yang indah. Terlalu indah bagi mereka yang benar-benar memahami istilah sendiri. Allah SWT ciptakan sendiri itu untuk mengembalikan semula hambaNya yang 'hilang'. Dia biarkan kamu yakni insan yang terpilih untuk bersendiri hanya semata-mata inginkan kamu kembali ke jalanNya. Bukan untuk menghukum kamu. Sebaliknya, untuk menyatakan kasih sayangNya kepada hamba-hambaNya.

Jadi, janganlah bersedih apabila sendiri. Bersangka baiklah dengan Allah.

Allah SWT berfirman:

"Aku akan bersama (mengikut) sangkaan hamba-hambaKu. Maka hendaklah kamu bersangka dengan apa yang kamu inginkan" (Hadis Qudsi Riwayat At-Thabrani)

Percayalah, setiap keadaan atau peristiwa itu mempunyai hikmah yang kadangkala dapat kita fikir sendiri (namun kadangkala hikmah itu tidak dapat difikir oleh kita manusia biasa). Ingat, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

"...boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untukmu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak tahu."
(Surah al-Baqarah, ayat 216)

Biarlah kita buruk dan hina pada pandangan manusia, namun cantik dan suci pada pandangan Allah SWT

Wallahualam...